Sunday 15 April 2012

BUKIT TITI - [13KM MENDAKI]

15 April 2012 (Ahad) - Mengambil peluang membuat kayuhan mendaki Bukit Titi atau dikenali juga sebagai Bukit Putus. Nikmatnya mendaki Bukit Titi ini ialah apabila timbul pertanyaan di hati semasa mendaki iaitu "ishhh...bila nak sampai puncak ni"...atau "Aduhhh....tak sampai-sampai lagi"...atau "Adoiii....menyesal aku ikut laluan ini".

Bukit Titi menjanjikan satu pendakian landai sejauh 13 kilometer. Empat kilometer terakhir untuk sampai kepuncak merupakan satu azab kerana fizikal pendakian yang agak curam. Tetapi untuk profesional kedengaran mereka menyebut..."Ahh...biasa ja tu". Jadi kategori azab yang bakal anda alami bergantung kepada jati diri dan tafsiran diri anda sendiri.

Bukit titi mempunyai pandangan yang menjanjikan kehijauan dan terdapat mini air terjun disepanjang perjalanan.

4 km sebelum sampai Puncak Titi

Amir dan Redzwan

Menikmati kehijauan

Bukit Titi berfizikal landai disampai berbukit-bukit , sunyi dan tiada penghuni di sepanjang perjalanan dan sesuai membuat kayuhan secara berkumpulan.

BUKAN FAKTOR USIA

14 April 2012 (Sabtu) - Disebabkan kenderaan masih dibaikpulih di bengkel maka hasrat untuk menyertai konvoi kayuhan mendaki Cameron Highland melalui Pos Betau/Ringlet, Pahang bersama Group Speda Malaysia terpaksa dibatalkan disaat akhir iaitu 30 minit sebelum perjalanan. Hati agak kecewa namun kita hanya merancang dan Allah swt yang menentukan segalanya.

 Kumpulan yang mendaki Cameron pada 14 April 2012
(Gambar ehsan dari Engku)

Mendaki Cameron

Sebagai timbal balas, saya membuat kayuhan di Genting Peres dan kebetulan bertemu pula dengan "senior veteran" iaitu Tuan Haji Madi Hashim atau dikenali sebagai Uncle Bianchi yang berusia 59 tahun. Sebelum ini ada berselisih dengan beliau dilaluan kayuhan bt.14 - bt 18 dan ketika itu beliau mengayuh MTB dan dalam 2 bulan lepas beliau menukar minat kepada basikal road bike dan pilihan jenama pertama beliau ialah Bianchi berwarna merah.

Tuan Haji Madi Hashim (59 tahun)

Tuan Haji Madi kayuh mendaki Genting Peres

Sebagai pengayuh basikal, rasa hormat kepada faktor usianya yang masih aktif dan mampu mengayuh basikal mendaki peres pada purata kayuhan 15km/j bersama saya. Pada mulanya beliau menolak pelawaan saya untuk mendaki Genting Peres dengan pelbagai alasan. Namun pujukan saya akhirnya berjaya mempengaruhi beliau untuk ikut serta dengan ayat pujukan saya berbunyi " Jomla naik Peres, jangan risau saya tak akan tinggal Tuan Haji dibelakang".

Kami membakar semangat Tuan Haji Madi Hashim

Bukan semua pengayuh mampu mendaki Genting Peres pada kali pertama. Ramai pengayuh yang berusia 20an,30an dan 40an menolak basikal di separuh pendakian dan tidak kurang juga yang berpatah balik separuh pendakian. Ada juga yang kecundang di bukit simpang Genting Peres dan tidak mampu lagi untuk mendaki Genting Peres.

Bersama kumpulan jersi Malaysia

Genting Peres adalah laluan LeTour De Langkawi dengan ketinggian 500 meter dari paras laut. Samada mendaki dari batu 18 atau Kampung Titi, kedua-duanya menjanjikan cabaran yang mengazabkan bagi yang tidak biasa. Hakikatnya, atas alasan 500 meter ketinggian dari paras laut itu juga, laluan ini menjadi pilihan utama penggemar sukan kayuh basikal di Malaysia.

Wednesday 11 April 2012

REKOD KAYUHAN

April 2012 - Kayuhan dilakukan bersama Amiruddin Shah memandangkan Redzwan Shah tidak dapat pulang setiap hujung minggu kerana mengikuti  kuliah, latihamal dan kertas kerja universiti. Namun begitu latihan perlu diteruskan sebagai persediaan Ipoh Century Ride 2012 pada 15 Julai 2012 di Kinta River Hotel, Ipoh sejauh 160km.

Amiruddin Shah dan Saya

Pencapaian prestasi latihan kadangkala bergantung kepada mood dan kesihatan fizikal dan organ dalaman. Untuk mengekalkan prestasi kayuhan disiplin pemakanan perlu diberi perhatian rapi. Makanan berminyak, pedas dan berkalesterol tinggi perlu dielakkan disamping mengelakkan makanan yang boleh menjana gas/angin dalam badan. Makanan berangin boleh menyebabkan sengal pinggang dan menggangu prestasi kayuhan.

Latihan mendaki bukit curam, bukit sederhana, bukit terkejut, tanah rata dan berbukit-bukit diberi perhatian untuk membiasakan kepada pembinaan otot, mental dan stamina. Purata kayuhan 25km/j ditetapkan sebagai piawaian mendaki dan minina 30km/j ditetapkan untuk kayuhan yang pelbagai (tanah rata + berbukit-bukit).
Kayuhan dari Batu 18 ke simpang Genting Peres terkenal sebagai kawasan fizikal mendaki yang landai. Sebaik mungkin kami mengekalkan kayuhan purata 25km/j.

Purata 25km/j - Bt 18 - Simpang Genting Peres

Kayuhan yang pelbagai fizikal dikekalkan piawaian purata minima 30km/j



 

Saturday 7 April 2012

BROGA JANTAN

SABTU (7/4/2012) - Jam 8.00 pagi, sekumpulan terdiri dari Ibrahim, Shamrulismawi, Syaful, Hadrey, Syamsul, Amiruddin Shah melakukan kayuhan Broga Jantan  bermula dari  Taman Rekreasi Sg. Tekala - Semenyih - Broga - Lenggeng - Bukit Tangga - Kuala Klawang - Kampung Poum - Bukit Titi - Peres - Tekala.

 Di hentian Sungai Tekala (dari kiri) - Syaful, Syamsul, Shamrulismawi, Hadrey, Amiruddin Shah

Di hentian Sungai Tekala (dari kiri) - Syaful, Syamsul, Shamrulismawi, Hadrey, Ibrahim


Broga Jantan menjanjikan nikmat kayuhan yang tidak dapat hendak diluahkan melalui perasaan. Namun gambar-gambar yang dirakamkan menceritakan segalanya. Broga Jantan menguji kekuatan diri dari segi stamina, mental, kuatan fizikal  dan kejituan semangat berkumpulan.

Powerbar..

Broga Jantan menjanjikan kawasan pendakian yang memang amat mengujakan. Pendakian bermula dari laluan hadapan Universiti of Nothingham yang agak landai sehingga ke ladang arnab (Rabbit Farm), kemudian melalui kawasan berbukit-bukit pendek sehingga ke pekan Lenggeng.

 Kawasan Universiti Nothingham


Pendakian yang landai

Dari pekan lenggeng anda akan melalui kawasan kampung dengan laluan dua lorong sejauh 3 kilometer sebelum bertemu dengan Bukit Lenggeng yang mempunyai kecerunan yang tinggi. Tanpa jati diri yang tinggi pasti anda akan membuat keputusan untuk menolak basikal semasa melakukan pendakian. Bukit Lenggeng ini bersambung dengan Bukit Mondom 1 dan Bukit Mondom 2. Pendakian yang umpama tiada penghujungnya ini memang menyeronokkan.

 Bukit Mondom


Bukit Lenggeng

Selepas menawan Bukit Lenggeng dan saudara kembarnya iaitu Bukit Mondom 1 dan 2, anda akan berhadapan dengan Bukit Tangga di laluan lebuhraya menghala ke Kuala Klawang. Fizikal Bukit Tangga ini begitu curam dan menjanjikan bahang cahaya matahari yang cukup terik. Semasa melakukan dakian Bukit Tangga pemandu kenderaan menunjuk isyarat ibu jari "thumb up" dan hon dalam mempamirkan rasa kagum kepada anda yang berusaha mendaki Bukit Tangga. Dalam pengamatan saya kelihatan kenderaan berat juga merangkak semasa mendaki bukit ini. Menuruni Bukit Tangga juga memerlukan kemahiran kawalan basikal yang tinggi kerana tiupan angin yang begitu kuat mengakibatkan basikal berbuai ke kiri dan kanan.

Bukit Tangga

Jalan agak mendatar dari Bukit Tangga menghala ke pekan Kuala Klawang. Anda boleh melakukan kayuhan pada kelajuan sekitar 35 ke 40 kilometer sejam di laluan ini.

Dari Kuala Klawang menghala ke Kampung Poum anda akan menghadapi jalan berbukit-bukit dengan pendakian biasa yang landai dengan sekali-sekala boleh memecut 35 kilometer sejam. Anda perlu menjimat tenaga kerana masih ada banyak bukit yang perlu dihadapi di hadapan.

Dari Kampung Poum anda akan mula menghadapi situasi laluan berbukit landai sejauh 1 hingga 3 kilometer jaraknya. Anda perlu mengawal emosi dan menjimatkan anda, kerana tenaga masih berbaki sekitar 40% sahaja lagi.

Selepas kampung Poum anda akan bertemu dengan kampung Titi yang terkenal dengan Lata Kinjang. Kampung Titi menjanji kayuhan mendaki tanpa rehat sejauh 13 kilometer jaraknya. Pendakian Bukit Titi ini membuatkan anda tertanya dalam hati "ihhh...belum sampai-sampai lagi" atau "ehhh....bila nak habis ni"....

Semasa mendaki Bukit Titi ini, saya cuba bergurau senda dengan rakan-rakan dalam kumpulan tetapi kelihatannya masing-masing seolah olah tidak mampu mendengar guruan saya dan masing-masing serius melayan perasaan kayuhan masing-masing.

Lagi 4 kilometer untuk sampai ke puncak Bukit Titi yang juga  merupakan puncak Genting Peres, saya menyedari 2 orang lagi rakan kayuh tercicir di belakang. Memandangkan kawasan tersebut terlalu sunyi dan risau rakan-rakan dirompak kerana masing-masing menunggang basikal mahal, saya menuruni semula semula sejauh 5 kilometer sebelum bertemu dengan mereka yang tidak mampu lagi meneruskan kayuhan. Saya melihat seorang rakan tersebut mengesat matanya yang merah apabila melihat kelibat saya dihadapannya. Masing-masing menghadapi masalah krem paha dan betis.  Saya menghantar sms kepada isteri saya untuk menjemput mereka tanpa  pengetahuan mereka. Dalam 20 minit, isteri saya sampai menjemput mereka ke tempat meletak kereta di hentian Sungai Tekala.

Selepas mereka bertolak menaiki kereta, menjadi satu tekanan emosi kepada saya kerana terpaksa mengayuh mendaki ditempat sunyi ini seorang diri. Pelbagai perkara buruk bermain-main di fikiran. Saya berusaha memecut sekitar 15 ke 20 kilometer sejam mendaki sebelum saya menyedari bahawa bekalan air saya kehabisan.

"Aduhh....tanpa air macamana nak kayuh ni"...keluh hati kecil saya. Dalam melayani fikiran yang semakin kusut akibat bekalan air habis....tiba-tiba saya terdengar bunyi deruan air. Saya berhenti untuk menyiasat. "Aduhhh...air rupa"...maka saya pun hulur tangan mengaut air untuk disuapkan ke mulut. Dalam sejarah inilah kali pertama dalam hidup saya minum air dari sebuah longkang. Namun Alhamdulillah...diutuskan air untuk keselesaan saya semasa saya memang amat-amat memerlukan pertolongannya.

Selepas mengisi botol air sebagai bekalan, saya meneruskan sisa kayuhan berbaki sekitar 4 kilometer curam mendaki untuk sampai ke puncak Bukit Titi. Aduhhh...terlalu tingginya 4 kilometer Bukit Titi yang terakhir ni...

Selepas menawan Bukit Titi, saya menuruni Genting Peres dengan kelajuan maksima 66.9 kilometer sejam. Selepas mendaki 4 buah bukit pendek yang tidak kurang tingginya, maka saya pun sampai di Sungai Tekala.

Dalam jangkaan Broga Jantan ini boleh dihabiskan pada pukul 1.30 petang, tetapi disebabkan rakan-rakan menghadapi masalah krem di Bukit Titi, misi berjaya ditamatkan pada jam 3.30petang. Saya berjaya menghabiskan kayuhan berjumlah 121 kilometer iaitu lebih 6 kilometer dari rakan lain kerana berpatah balik mencari rakan-rakan yang tercicir.

Selepas melakukan solat fardhu secara jamak di surau hentian Sungai Tekala dan menjamu anak-anak dengan nasi lemak pucuk paku di gerai yang tersedia, maka saya pun berlepas pulang ke rumah dengan rasa puashati yang tidak terhingga kerana berjaya menamatkan misi ini disamping dapat membantu rakan-rakan yang dalam kesulitan.

Bersama ini dikongsi gambar kami semasa membuat BROGA JANTAN LOOP....

Bertemu dengan kumpulan Abang Din pengayuh dari Seremban

Berkumpul semula di Puncak Bukit Tangga

Menjamu Tuan Shamrulismawi dengan hot dog  masakan isteri saya
Dari kiri - Shamrulismawi, Syaful, Syamsul, Hadrey, Amiruddin dan saya Ibrahim Jurufoto
Gaya memasing
Petronas Kuala Klawang
Campur 100 plus dengan Fresh Oren
Minum tongkat Ali
Melayan perasaan masing-masing
Nyonyot...
Penat...
Amboiii....nikmatnya air 100plus + fresh oren
Basikal ...
Banyaknya botol air...
huhuhu...
Ibrahim Ishak

Syaful

Amiruddin Shah

Syamsul

Shamrulismawi

Sunday 1 April 2012

PEMANDANGAN DINIKMATI SEMASA KAYUH

Hidup hanya sekali dan merugi sekiranya mengabaikan kecantikan Alam Sekitar anugerah dari Maha Pengcipta. Sukan basikal menjanji pemandangan yang indah semasa mengayuh basikal di persekitaran. Pemandangan ini memang sukar untuk di nikmati dan lebih indah dari paparan dalam "Discovery Channel Astro".